KOTA BHARU, KELANTAN, 21 April 2019 – Seramai sembilan orang pensyarah dan pelajar Sarjana Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah melakukan aktiviti selaman skuba di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini. Aktiviti yang diketuai oleh Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan, Profesor Madya Dr Tuan Hairul Tuan Kamauzaman dilakukan sempena Sambutan 50 Tahun USM.
Selaman skuba ini adalah yang pertama dilakukan di mana semua penyelam merupakan doktor perubatan berdaftar yang berkhidmat di USM.
Salah seorang penyelam yang menyertai aktiviti berkenaan, Dr Muhammad Hafiz Hanafi yang juga Pakar Perubatan Rehabilitasi berkata, menerusi program skuba ini banyak pengisian yang diperolehi terutama mengenai penjagaan terumbu karang dan juga kajian penyelidikan melibatkan para penyelam dan dunia perubatan.
“Program ini tertumpu di tiga tempat yang telah dikenalpasti iaitu ‘Romantic Beach’, D’Lagoon dan Sanchoi Ship Wreck dengan kedalaman 16 meter,” katanya.
Jelas Muhammad Hafiz, kebanyakan penyelam skuba adalah pegawai perubatan yang bertugas dalam pelbagai bidang perubatan antaranya seperti Oftalmologi, Anestesiologi dan Perubatan Masyarakat.
Antara tujuan lain dalam program selaman skuba ini juga adalah untuk menarik lebih ramai warga USM menceburkan diri dalam dunia selaman skuba sekaligus menggalakkan minat dan kecintaan terhadap hidupan laut selain daripada mengajak masyarakat menghargai keindahan alam dan kepentingan untuk menjaga kebersihan tidak kira di darat atau di lautan agar kehidupan di dasar laut tidak terkesan dengan kekotoran yang disebabkan oleh manusia.
Sumber www.hospital.usm.my