Sambutan Ulangtahun USM Ke-50
Bersama kita raikan perayaan sambutan ulangtahun yang bakal diadakan tidak lama lagi
Hospital USM Tubuh Organisasi Kawad Kebakaran
Memastikan keselamatan staf dan pesakit sentiasa berada dalam keadaan selamat, Hospital USM dengan kerjasama bomba tubuh OKK
Asma Ismail (Prof,Datuk,Dr.) Mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan
Ucapan kepada seluruh warga Hospital USM,pesakit,peneman pesakit. Terima kasih kerana membantu Hospital USM. Semoga dengan berpuasa dapat merapatkan diri kita kepada Allah s.w.t
Ahmad Sukari Halim (Prof,Dato',Dr.) mengajak semua bersenam
Pelajar dan staf digalakkan untuk selalu bersenam bagi memberi kesan yang positif kepada kesihatan dan kehidupan seharian kita
Iklan kosong 5
Hubungi kami sekarang, khidmat ini khusus untuk makluman
Monday, June 10, 2019
SAKIT TAPAK KAKI USAH DIPANDANG REMEH
By fighter June 10, 2019
KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Januari 2019 – Tapak kaki manusia terdiri daripada tulang kaki, ligamen dan tendon, lapisan otot, fascia serta saluran darah dan saraf. Sakit tapak kaki kebiasaannya berpunca daripada radang selaput atau fascia pada tapak kaki yang dikenali sebagai ‘Plantar Fasciitis’.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Rehabilitasi, Unit Perubatan Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, umumnya pesakit akan selalu mengadu sakit di tapak kaki terutama selepas bangun dari tidur ataupun melakukan aktiviti berjalan dan berdiri terlalu lama.
“Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah akan menggangu kehidupan seharian pesakit apabila tidak dapat bergerak dengan pantas sehingga menyebabkan tugas harian tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya ketika menjadi tetamu slot ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di sini.
Al Hafiz berkata, kesedaran masyarakat terhadap masalah yang dihadapi pada anggota kaki amat rendah dan ramai yang menganggap kesakitan yang ditanggung merupakan perkara kecil serta akan pulih sekiranya mendapat rehat yang mencukupi.
“Masyarakat masih tidak menyedari kesakitan yang ditanggung kadangkala boleh mendatangkan kesan negatif kepada pesakit itu sendiri kerana sakit pada tapak kaki secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu jari kaki, depan tapak kaki dan belakang kaki.
“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita bertumit tinggi yang tidak selesa atau sempit,” jelasnya lagi.
Tambah Al Hafiz, kesakitan pada bahagian depan tapak kaki biasanya melibatkan tulang metatarsal (kelima-lima tulang pada kaki yang menyambung pergelangan kaki kepada jari-jari kaki) dan tulang sesamoid (tulang berbentuk nodul bujur yang terletak di dalam tendon dan melongsor di atas permukaan tulang lain).
“Individu lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetis, pesakit jantung atau yang alami kesakitan pada lutut, pinggul atau belakang mempunyai kadar lebih tinggi mengalami masalah kaki.
“Golongan wanita lebih ramai mengalami masalah sakit pada jari dan bahagian bawah jari kaki berbanding lelaki dan biasanya keadaan ini semakin teruk apabila usia meningkat serta pertambahan berat badan,” katanya.
Menurut Al Hafiz lagi, antara rawatan yang selalu dilakukan terhadap pesakit ialah dengan memberi ubat tahan sakit bagi mengurangkan radang selain merujuk kepada pakar fisioterapi bagi melatih pesakit melakukan senaman tertentu untuk mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari penyakit ini semakin teruk.
“Sekiranya rawatan tersebut tidak berkesan, doktor akan memberikan rawatan suntikan steroid pada bahagian fascia yang berfungsi untuk mengurangkan serta menghilangkan sakit dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
“Langkah berikutnya jika rawatan tadi tidak berkesan, doktor akan memberi injeksi ‘botulium toxin’ pada bahagian fascia dan otot di kaki bagi melemahkan otot yang ketat dan memudahkan senaman regangan namun begitu kos injeksi ini agak mahal dan hanya kes-kes yang tertentu sahaja akan diberi keutamaan,” ujarnya.
Al-Hafiz turut menjelaskan bahawa jika kesemua rawatan yang dilakukan tidak berjaya atau tahap sakit yang semakin serius, pembedahan akan dilakukan bagi merawat penyakit ini.
Saturday, June 1, 2019
ALUMNI USM TERPILIH MENERIMA ANUGERAH BERPRESTIJ NEGARA JEPUN
By fighter June 01, 2019
From
USM Penang
With Love
PULAU PINANG, 30 Mei 2019 – Alumni dan mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak telah terpilih untuk menerima Darjah Kebesaran “Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon” dari Maharaja Naruhito di kediaman rasminya di Jepun.
Sumber dari Kedutaan Jepun di Malaysia memaklumkan bahawa Dzulkifli, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran tersebut oleh Kerajaan Jepun pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Anugerah tersebut diberi bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam meningkatkan program pertukaran akademik di antara Jepun dan Malaysia, khususnya sewaktu beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari tahun 2000 hingga 2011.
Anugerah ini merupakan salah satu di antara dua anugerah berprestij Musim Bunga 2019 yang dianugerahkan kepada kenamaan asing (Malaysia) yang telah memberi sumbangan besar dalam mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara tersebut.
Dzulkifli amat berterima kasih kepada Kerajaan Jepun di atas pemilihan beliau untuk menerima pengiktirafan ini, serta berharap untuk terus meningkatkan pelbagai usaha di bawah Dasar Pandang ke Timur yang telah diperbaharui.
RAWATAN TIDAK MEMBATALKAN PUASA
By fighter June 01, 2019
Sepanjang bulan Ramadan, kesibukan di Jabatan Kecemasan tetap sama seperti bulan-bulan dalam penerimaan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan. Pesakit yang datang mengharapkan kesembuhan agar mereka dapat menunaikan ibadah puasa dan ibadah lain di bulan yang mulia ini.
Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Afifah Sjamun Sjahid berkata, kebaikan berpuasa dari segi kesihatan adalah yang terbaik kerana dapat merehatkan sistem penghadaman dari terus bekerja. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menimbulkan kesangsian dalam kalangan pesakit berkaitan perubatan dan perkara-perkara yang membatalkan puasa apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital ataupun klinik.
“Berpuasa membantu mengeluarkan toksin serta meningkatkan proses metabolisme selain dapat mengurangkan paras gula serta tekanan darah dalam badan bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis.
“Amalan perubatan yang tidak membatalkan puasa pula terutamanya ubat-ubatan atau prosedur adalah ubat untuk serangan jantung yang diletakkan di bawah lidah iaitu Sublingual GTN, Nebulizer, ubat yang diberikan melalui suntikan, derma darah, bantuan oksigen, ubat mata dan telinga dengan syarat gegendang telinga tidak pecah,” katanya ketika ditemubual dalam slot ‘Sembang Sihat’ di konti Kelantan FM.
Tambah Afifah, rawatan dialisis seperti Perioneal Dialysis (PD) dan Hemodialysis (HD) juga tidak membatalkan puasa tetapi sekiranya tidak mampu untuk meneruskan puasa, pesakit dinasihatkan untuk berbuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi.
Bercakap tentang jumlah kedatangan pesakit ke Jabatan Kecemasan semasa bulan Ramadan, beliau menjelaskan, kedatangan pesakit meningkat selepas waktu berbuka sekitar jam 8 malam hingga 1 pagi.
“Antara kes yang diterima adalah gastrik, darah tinggi, bacaan gula tidak terkawal, keracunan makanan akibat makanan yang dipanaskan berkali-kali, cedera akibat bermain mercun dan kemalangan yang kerap terjadi berbanding dengan bulan-bulan lain,” katanya lagi.
Di akhir temubual, Afifah turut menasihatkan agar semua orang menjaga kesihatan di bulan mulia ini dan bagi pesakit yang mendapat bantuan ubat dinasihatkan agar sentiasa peka dengan dos ubat yang perlu diambil kerana tempoh bersahur sehingga berbuka adalah suatu masa yang panjang.