Saturday, June 1, 2019

RAWATAN TIDAK MEMBATALKAN PUASA




Sepanjang bulan Ramadan,  kesibukan di Jabatan Kecemasan tetap sama seperti bulan-bulan dalam penerimaan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan. Pesakit  yang datang mengharapkan kesembuhan agar mereka dapat menunaikan ibadah puasa dan ibadah lain di bulan yang mulia ini. 
Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Afifah Sjamun Sjahid berkata, kebaikan berpuasa dari segi kesihatan adalah yang terbaik kerana dapat merehatkan sistem penghadaman dari terus bekerja. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menimbulkan kesangsian dalam kalangan pesakit berkaitan perubatan dan perkara-perkara yang membatalkan puasa apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital ataupun klinik.
“Berpuasa membantu mengeluarkan toksin serta meningkatkan proses metabolisme selain dapat mengurangkan paras gula serta tekanan darah dalam badan bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis.
“Amalan perubatan yang tidak membatalkan puasa pula terutamanya ubat-ubatan atau prosedur adalah ubat untuk serangan jantung yang diletakkan di bawah lidah iaitu Sublingual GTN, Nebulizer, ubat yang diberikan melalui suntikan, derma darah, bantuan oksigen, ubat mata dan telinga dengan syarat gegendang telinga tidak pecah,” katanya ketika ditemubual dalam slot ‘Sembang Sihat’ di konti Kelantan FM.
Tambah Afifah, rawatan dialisis seperti Perioneal Dialysis (PD) dan Hemodialysis (HD) juga tidak membatalkan puasa tetapi sekiranya tidak mampu untuk meneruskan puasa, pesakit dinasihatkan untuk berbuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi.
Bercakap tentang jumlah kedatangan pesakit ke Jabatan Kecemasan semasa bulan Ramadan, beliau menjelaskan, kedatangan pesakit meningkat selepas waktu berbuka sekitar jam 8 malam hingga 1 pagi.
 “Antara kes yang diterima adalah gastrik, darah tinggi, bacaan gula tidak terkawal, keracunan makanan akibat makanan yang dipanaskan berkali-kali, cedera akibat bermain mercun dan kemalangan yang  kerap terjadi berbanding dengan bulan-bulan lain,” katanya lagi.
Di akhir temubual, Afifah turut menasihatkan agar semua orang menjaga kesihatan di bulan mulia ini dan bagi pesakit yang mendapat bantuan ubat dinasihatkan agar sentiasa peka dengan dos ubat yang perlu diambil kerana tempoh bersahur sehingga berbuka adalah suatu masa yang panjang.