Monday, May 20, 2019

SYUKUR ADA BIUS, KALAU TAK BIUS ...




Setiap individu yang pernah menjalani pembedahan sering kali merasakan kejayaan sesuatu pembedahan adalah dengan sokongan dan kehebatan sepasukan pakar bedah.  Namun kita tidak sedar bahawa dalam kumpulan ini terdapat pakar bius atau anestesiologi yang kehadirannya sering dilupakan sedangkan peranan mereka sama penting dengan pakar bedah.
Menurut pensyarah dan pakar perubatan, Jabatan Anestesiologi,  Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Hasyizan Hassan, tanpa pakar bius, pembedahan tidak dapat dijalankan. Malah kerjasama yang wujud di antara pakar bius dan pakar bedah akan menjamin kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan. Ini kerana dalam apa juga pembedahan sama ada kecil atau besar memerlukan pembiusan yang hanya dilakukan pakar bius berpengalaman.
“Peranan pakar bius adalah memastikan pesakit dalam keadaan sepatutnya semasa menjalani pembedahan, tidak berasa sakit dan selamat semasa mahupun selepas pembedahan. Bagi pesakit yang ingin menjalani pembedahan sudah tentu mereka tidak mahu melihat dan merasai saat tubuh dibedah atau kulit dijahit,” jelasnya dalam satu sesi temubual bersama radio tempatan, di sini.
“Ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan sebelum pembedahan dijalankan. Sehari sebelum dibedah, pakar bius akan melawat pesakit bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat,” ujarnya lagi.
“Sihat bermaksud pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi atau tekanan darah berada di dalam keadaan terkawal, seperti juga kadar gula dalam darah serta tidak mengalami kesukaran bernafas. Perjumpaan dengan pakar bius sebelum pembedahan amat penting kerana sesetengah pesakit mungkin akan mengalami alahan dengan ubat bius dan boleh membahayakan.
“Terdapat empat jenis pembiusan utama iaitu bius separuh, epidural, bius setempat dan bius penuh yang setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri, dilakukan dalam cara dan penggunaan ubat-ubatan berbeza,” katanya lagi.
“Ada beberapa komplikasi mungkin akan dirasakan oleh pesakit selepas mendapat suntikan bius sekiranya prosedur dan dos ubat tidak diberikan secara tepat. Kebanyakan komplikasi yang dialami oleh pesakit bersifat sementara atau kesan cukup lama dan antara kesannya adalah pesakit akan mengalami loya atau muntah, pening kepala, kesukaran bernafas dan penurunan tekanan darah,” ujar Hasyizan.
Tambah Hasyizan, peranan penting seorang pakar bius ialah memastikan pesakit berada dalam keadaan selamat semasa dan selepas pembedahan selesai selain berperanan di dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan keselamatan pesakit selepas pembedahan di unit rawatan rapi turut menjadi tanggungjawab pakar bius. Selain itu juga, pakar bius berperanan dalam perkhidmatan rawatan kesakitan akut yang dialami selepas pembedahan sehingga 48 jam.

Sumber : kk.usm.my




Iklan :