Emosi merujuk kepada suatu perasaan dan fikiran khusus, melibatkan
biologi dan psikologis serta membawa kepada kecenderungan untuk bertindak.
Emosi pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Pengajian Sains
Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zarawi Mat Nor
berkata, ‘Emotional Intelligence’ (EQ) mempunyai lima komponen yang terdiri
daripada kesedaran diri, kawalan diri, motivasi diri, empati dan juga kemahiran
sosial.
“Kesedaran diri atau kewarasan diri adalah kebolehan kita
untuk mengetahui dan mengenali emosi atau perasaan sendiri. Selain itu, ia juga
untuk mengetahui dan memahami perhubungan antara emosi, fikiran, kelakuan dan
reaksi terhadap perasaan yang dialami.
“Apabila kita beremosi, kita seharusnya sedar apakah perasaan yang
sedang kita hadapi sama ada sedang marah, takut atau sedih,” ujarnya semasa
menjadi tetamu di rancangan Doktor Di Radio, di sini.
Menurut Mohd Zarawi, kawalan diri atau pengurusan diri pula ialah
kebolehan seseorang mengawal atau menanggung emosi sendiri dan mampu mengawal
atau mengurus secara rasional situasi dan desakan – desakan dalaman diri iaitu
bisikan dalaman.
“Di sini kita boleh lihat jika seseorang tidak dapat mengawal
emosi, dia akan memberontak dan mempamerkan emosi yang dia sedang hadapi.
“Motivasi diri iaitu kecenderungan emosi yang boleh memimpin dan
membantu mencapai matlamat merupakan dorongan kepada kita dan jika dilihat dari
sudut emosi, ia merupakan kebolehan untuk bertahan apabila berhadapan dengan
halangan yang boleh menyebabkan kita beremosi,” jelasnya lagi.
Tambah Mohd Zarawi, empati pula ialah kebolehan seseorang memahami
perasaan dan masalah orang lain contohnya kita dapat merasai apa yang orang
lain rasa, melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan, berfikir atau bertindak
dari sudut pandangan orang lain dan menghargai perbezaan perasaan atau pendapat
orang lain mengenai pelbagai perkara.
“Di samping itu, kemahiran sosial merupakan kemahiran seseorang
mengendalikan emosi orang lain. Kemahiran ini penting kerana atas nasihat kita,
kita berjaya mengawal emosi orang lain daripada berlebihan.
“Namun, ada juga situasi yang mana disebabkan nasihat kita, emosi
orang lain menjadi semakin teruk,” jelasnya.
Iklan :