Sambutan Ulangtahun USM Ke-50
Bersama kita raikan perayaan sambutan ulangtahun yang bakal diadakan tidak lama lagi
Hospital USM Tubuh Organisasi Kawad Kebakaran
Memastikan keselamatan staf dan pesakit sentiasa berada dalam keadaan selamat, Hospital USM dengan kerjasama bomba tubuh OKK
Asma Ismail (Prof,Datuk,Dr.) Mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan
Ucapan kepada seluruh warga Hospital USM,pesakit,peneman pesakit. Terima kasih kerana membantu Hospital USM. Semoga dengan berpuasa dapat merapatkan diri kita kepada Allah s.w.t
Ahmad Sukari Halim (Prof,Dato',Dr.) mengajak semua bersenam
Pelajar dan staf digalakkan untuk selalu bersenam bagi memberi kesan yang positif kepada kesihatan dan kehidupan seharian kita
Iklan kosong 5
Hubungi kami sekarang, khidmat ini khusus untuk makluman
Monday, June 10, 2019
SAKIT TAPAK KAKI USAH DIPANDANG REMEH
By fighter June 10, 2019
KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Januari 2019 – Tapak kaki manusia terdiri daripada tulang kaki, ligamen dan tendon, lapisan otot, fascia serta saluran darah dan saraf. Sakit tapak kaki kebiasaannya berpunca daripada radang selaput atau fascia pada tapak kaki yang dikenali sebagai ‘Plantar Fasciitis’.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Rehabilitasi, Unit Perubatan Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, umumnya pesakit akan selalu mengadu sakit di tapak kaki terutama selepas bangun dari tidur ataupun melakukan aktiviti berjalan dan berdiri terlalu lama.
“Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah akan menggangu kehidupan seharian pesakit apabila tidak dapat bergerak dengan pantas sehingga menyebabkan tugas harian tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya ketika menjadi tetamu slot ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di sini.
Al Hafiz berkata, kesedaran masyarakat terhadap masalah yang dihadapi pada anggota kaki amat rendah dan ramai yang menganggap kesakitan yang ditanggung merupakan perkara kecil serta akan pulih sekiranya mendapat rehat yang mencukupi.
“Masyarakat masih tidak menyedari kesakitan yang ditanggung kadangkala boleh mendatangkan kesan negatif kepada pesakit itu sendiri kerana sakit pada tapak kaki secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu jari kaki, depan tapak kaki dan belakang kaki.
“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita bertumit tinggi yang tidak selesa atau sempit,” jelasnya lagi.
Tambah Al Hafiz, kesakitan pada bahagian depan tapak kaki biasanya melibatkan tulang metatarsal (kelima-lima tulang pada kaki yang menyambung pergelangan kaki kepada jari-jari kaki) dan tulang sesamoid (tulang berbentuk nodul bujur yang terletak di dalam tendon dan melongsor di atas permukaan tulang lain).
“Individu lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetis, pesakit jantung atau yang alami kesakitan pada lutut, pinggul atau belakang mempunyai kadar lebih tinggi mengalami masalah kaki.
“Golongan wanita lebih ramai mengalami masalah sakit pada jari dan bahagian bawah jari kaki berbanding lelaki dan biasanya keadaan ini semakin teruk apabila usia meningkat serta pertambahan berat badan,” katanya.
Menurut Al Hafiz lagi, antara rawatan yang selalu dilakukan terhadap pesakit ialah dengan memberi ubat tahan sakit bagi mengurangkan radang selain merujuk kepada pakar fisioterapi bagi melatih pesakit melakukan senaman tertentu untuk mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari penyakit ini semakin teruk.
“Sekiranya rawatan tersebut tidak berkesan, doktor akan memberikan rawatan suntikan steroid pada bahagian fascia yang berfungsi untuk mengurangkan serta menghilangkan sakit dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
“Langkah berikutnya jika rawatan tadi tidak berkesan, doktor akan memberi injeksi ‘botulium toxin’ pada bahagian fascia dan otot di kaki bagi melemahkan otot yang ketat dan memudahkan senaman regangan namun begitu kos injeksi ini agak mahal dan hanya kes-kes yang tertentu sahaja akan diberi keutamaan,” ujarnya.
Al-Hafiz turut menjelaskan bahawa jika kesemua rawatan yang dilakukan tidak berjaya atau tahap sakit yang semakin serius, pembedahan akan dilakukan bagi merawat penyakit ini.
Saturday, June 1, 2019
ALUMNI USM TERPILIH MENERIMA ANUGERAH BERPRESTIJ NEGARA JEPUN
By fighter June 01, 2019
From
USM Penang
With Love
PULAU PINANG, 30 Mei 2019 – Alumni dan mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak telah terpilih untuk menerima Darjah Kebesaran “Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon” dari Maharaja Naruhito di kediaman rasminya di Jepun.
Sumber dari Kedutaan Jepun di Malaysia memaklumkan bahawa Dzulkifli, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran tersebut oleh Kerajaan Jepun pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Anugerah tersebut diberi bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam meningkatkan program pertukaran akademik di antara Jepun dan Malaysia, khususnya sewaktu beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari tahun 2000 hingga 2011.
Anugerah ini merupakan salah satu di antara dua anugerah berprestij Musim Bunga 2019 yang dianugerahkan kepada kenamaan asing (Malaysia) yang telah memberi sumbangan besar dalam mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara tersebut.
Dzulkifli amat berterima kasih kepada Kerajaan Jepun di atas pemilihan beliau untuk menerima pengiktirafan ini, serta berharap untuk terus meningkatkan pelbagai usaha di bawah Dasar Pandang ke Timur yang telah diperbaharui.
RAWATAN TIDAK MEMBATALKAN PUASA
By fighter June 01, 2019
Sepanjang bulan Ramadan, kesibukan di Jabatan Kecemasan tetap sama seperti bulan-bulan dalam penerimaan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan. Pesakit yang datang mengharapkan kesembuhan agar mereka dapat menunaikan ibadah puasa dan ibadah lain di bulan yang mulia ini.
Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Afifah Sjamun Sjahid berkata, kebaikan berpuasa dari segi kesihatan adalah yang terbaik kerana dapat merehatkan sistem penghadaman dari terus bekerja. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menimbulkan kesangsian dalam kalangan pesakit berkaitan perubatan dan perkara-perkara yang membatalkan puasa apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital ataupun klinik.
“Berpuasa membantu mengeluarkan toksin serta meningkatkan proses metabolisme selain dapat mengurangkan paras gula serta tekanan darah dalam badan bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis.
“Amalan perubatan yang tidak membatalkan puasa pula terutamanya ubat-ubatan atau prosedur adalah ubat untuk serangan jantung yang diletakkan di bawah lidah iaitu Sublingual GTN, Nebulizer, ubat yang diberikan melalui suntikan, derma darah, bantuan oksigen, ubat mata dan telinga dengan syarat gegendang telinga tidak pecah,” katanya ketika ditemubual dalam slot ‘Sembang Sihat’ di konti Kelantan FM.
Tambah Afifah, rawatan dialisis seperti Perioneal Dialysis (PD) dan Hemodialysis (HD) juga tidak membatalkan puasa tetapi sekiranya tidak mampu untuk meneruskan puasa, pesakit dinasihatkan untuk berbuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi.
Bercakap tentang jumlah kedatangan pesakit ke Jabatan Kecemasan semasa bulan Ramadan, beliau menjelaskan, kedatangan pesakit meningkat selepas waktu berbuka sekitar jam 8 malam hingga 1 pagi.
“Antara kes yang diterima adalah gastrik, darah tinggi, bacaan gula tidak terkawal, keracunan makanan akibat makanan yang dipanaskan berkali-kali, cedera akibat bermain mercun dan kemalangan yang kerap terjadi berbanding dengan bulan-bulan lain,” katanya lagi.
Di akhir temubual, Afifah turut menasihatkan agar semua orang menjaga kesihatan di bulan mulia ini dan bagi pesakit yang mendapat bantuan ubat dinasihatkan agar sentiasa peka dengan dos ubat yang perlu diambil kerana tempoh bersahur sehingga berbuka adalah suatu masa yang panjang.
Wednesday, May 22, 2019
‘EMOTIONAL INTELLIGENCE‘
By fighter May 22, 2019
Emosi merujuk kepada suatu perasaan dan fikiran khusus, melibatkan
biologi dan psikologis serta membawa kepada kecenderungan untuk bertindak.
Emosi pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Pengajian Sains
Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zarawi Mat Nor
berkata, ‘Emotional Intelligence’ (EQ) mempunyai lima komponen yang terdiri
daripada kesedaran diri, kawalan diri, motivasi diri, empati dan juga kemahiran
sosial.
“Kesedaran diri atau kewarasan diri adalah kebolehan kita
untuk mengetahui dan mengenali emosi atau perasaan sendiri. Selain itu, ia juga
untuk mengetahui dan memahami perhubungan antara emosi, fikiran, kelakuan dan
reaksi terhadap perasaan yang dialami.
“Apabila kita beremosi, kita seharusnya sedar apakah perasaan yang
sedang kita hadapi sama ada sedang marah, takut atau sedih,” ujarnya semasa
menjadi tetamu di rancangan Doktor Di Radio, di sini.
Menurut Mohd Zarawi, kawalan diri atau pengurusan diri pula ialah
kebolehan seseorang mengawal atau menanggung emosi sendiri dan mampu mengawal
atau mengurus secara rasional situasi dan desakan – desakan dalaman diri iaitu
bisikan dalaman.
“Di sini kita boleh lihat jika seseorang tidak dapat mengawal
emosi, dia akan memberontak dan mempamerkan emosi yang dia sedang hadapi.
“Motivasi diri iaitu kecenderungan emosi yang boleh memimpin dan
membantu mencapai matlamat merupakan dorongan kepada kita dan jika dilihat dari
sudut emosi, ia merupakan kebolehan untuk bertahan apabila berhadapan dengan
halangan yang boleh menyebabkan kita beremosi,” jelasnya lagi.
Tambah Mohd Zarawi, empati pula ialah kebolehan seseorang memahami
perasaan dan masalah orang lain contohnya kita dapat merasai apa yang orang
lain rasa, melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan, berfikir atau bertindak
dari sudut pandangan orang lain dan menghargai perbezaan perasaan atau pendapat
orang lain mengenai pelbagai perkara.
“Di samping itu, kemahiran sosial merupakan kemahiran seseorang
mengendalikan emosi orang lain. Kemahiran ini penting kerana atas nasihat kita,
kita berjaya mengawal emosi orang lain daripada berlebihan.
“Namun, ada juga situasi yang mana disebabkan nasihat kita, emosi
orang lain menjadi semakin teruk,” jelasnya.
Iklan :
Monday, May 20, 2019
SYUKUR ADA BIUS, KALAU TAK BIUS ...
By fighter May 20, 2019
Setiap individu yang pernah menjalani pembedahan sering kali merasakan kejayaan
sesuatu pembedahan adalah dengan sokongan dan kehebatan sepasukan pakar
bedah. Namun kita tidak sedar bahawa dalam kumpulan ini terdapat pakar
bius atau anestesiologi yang kehadirannya sering dilupakan sedangkan peranan
mereka sama penting dengan pakar bedah.
Menurut pensyarah dan pakar perubatan,
Jabatan Anestesiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti
Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Hasyizan Hassan, tanpa pakar bius, pembedahan
tidak dapat dijalankan. Malah kerjasama yang wujud di antara pakar bius dan
pakar bedah akan menjamin kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan. Ini kerana
dalam apa juga pembedahan sama ada kecil atau besar memerlukan pembiusan yang
hanya dilakukan pakar bius berpengalaman.
“Peranan pakar bius adalah memastikan pesakit dalam keadaan
sepatutnya semasa menjalani pembedahan, tidak berasa sakit dan selamat semasa
mahupun selepas pembedahan. Bagi pesakit yang ingin menjalani pembedahan sudah
tentu mereka tidak mahu melihat dan merasai saat tubuh dibedah atau kulit
dijahit,” jelasnya dalam satu sesi temubual bersama radio tempatan, di sini.
“Ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan sebelum pembedahan
dijalankan. Sehari sebelum dibedah, pakar bius akan melawat pesakit bagi
memastikan mereka berada dalam keadaan sihat,” ujarnya lagi.
“Sihat bermaksud pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi atau
tekanan darah berada di dalam keadaan terkawal, seperti juga kadar gula dalam
darah serta tidak mengalami kesukaran bernafas. Perjumpaan dengan pakar bius
sebelum pembedahan amat penting kerana sesetengah pesakit mungkin akan
mengalami alahan dengan ubat bius dan boleh membahayakan.
“Terdapat empat jenis pembiusan utama iaitu bius separuh,
epidural, bius setempat dan bius penuh yang setiap satunya mempunyai fungsi
tersendiri, dilakukan dalam cara dan penggunaan ubat-ubatan berbeza,” katanya
lagi.
“Ada beberapa komplikasi mungkin akan dirasakan oleh pesakit
selepas mendapat suntikan bius sekiranya prosedur dan dos ubat tidak diberikan
secara tepat. Kebanyakan komplikasi yang dialami oleh pesakit bersifat
sementara atau kesan cukup lama dan antara kesannya adalah pesakit akan
mengalami loya atau muntah, pening kepala, kesukaran bernafas dan penurunan
tekanan darah,” ujar Hasyizan.
Tambah Hasyizan, peranan penting seorang pakar bius ialah
memastikan pesakit berada dalam keadaan selamat semasa dan selepas pembedahan
selesai selain berperanan di dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan
keselamatan pesakit selepas pembedahan di unit rawatan rapi turut menjadi
tanggungjawab pakar bius. Selain itu juga, pakar bius berperanan dalam
perkhidmatan rawatan kesakitan akut yang dialami selepas pembedahan sehingga 48
jam.
Wednesday, May 15, 2019
RMKB HULUR SUMBANGAN BANTU PESAKIT DI HOSPITAL USM
By fighter May 15, 2019
Jabatan Pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)
menerima kunjungan sebuah badan NGO iaitu Rumah Mahabbah, Kota Bharu (RMKB)
yang menyantuni pesakit pediatrik dalam usaha menyalurkan bantuan berupa
barangan dan pakaian di tingkat enam Hospital USM.
Menurut Urusetia Rumah Mahabbah, Profesor Madya Dr Noraida Ramli,
RMKB merupakan sebuah badan NGO yang bertindak sebagai pemudahcara membantu
menyalurkan barang-barang keperluan kepada mereka yang memerlukan.
"Masyarakat yang mempunyai barangan
yang tidak digunakan boleh sedekahkan kepada RMKB, dan barangan ini nanti akan
kita salurkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
"Memandangkan kita bakal menyambut Syawal, RMKB amat berbesar
hati sekiranya ada pihak yang boleh menyumbang pakaian hari raya, di samping
itu juga kami turut membekalkan barangan makanan digunakan kepada pesakit
sepanjang Ramadan kali ini," katanya ketika ditemui semasa program
berlangsung.
Tambah Noraida, RMKB mula ditubuhkan
selepas banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014, dan ada satu
peristiwa yang turut membawa kepada penubuhan RMKB iaitu terdapat mangsa banjir
dalam kalangan kanak-kanak lelaki memakai pakaian wanita iaitu baju kurung
akibat bantuan yang diberikan tidak menepati kehendak sasaran.
"Kami ingin memastikan semua barangan yang kita sumbangkan
menepati kehendak mereka dan dengan itu semua barangan dipamerkan di sini
bertujuan memudahkan pesakit dan waris memilih sendiri barangan yang mereka
mahukan.
"Konsep kita adalah mudah, setiap
orang mampu bersedekah dan setiap orang berhak menerima apa yang mereka
inginkan dan mengambil apa yang sesuai dengan mereka sahaja," katanya
lagi.
Masyarakat di luar sana boleh menyumbang apa saja barangan yang
boleh digunakan lagi kepada RMKB untuk disalurkan kepada mereka yang
memerlukan.
JURURAWAT BUAT "SUPRISE" KEPADA CIKGU SEKOLAH DALAM HOSPITAL DI HOSPITAL USM
By fighter May 15, 2019
USM KUBANG KERIAN, 15 Mei
2019 – Hari Guru adalah hari meraikan para guru dan disambut pada
16 Mei setiap tahun. Kepelbagaian aktiviti yang diadakan dengan
pembabitan ibu bapa serta para pelajar menambahkan lagi keceriaan hari
sambutan.
Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah
membuat kejutan dengan melakukan kunjungan menyantuni guru-guru yang berkhidmat
di Sekolah Dalam Hospital (SDH) sempena sambutan Hari Guru. Biarpun
sambutannya awal sehari, namun ia tetap memberi kesan mendalam kepada guru-guru
yang diraikan.
Menurut Penyelaras SDH, Cikgu Teo Seng
Hue, mereka tidak menyangka menerima kejutan sebegini apatah lagi Pengarah
Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim turut turun padang menyertai
kunjungan tersebut.
“Saya merasa amat gembira dengan kunjungan ini, ianya sangat
mengejutkan pihak kami dan tidak menyangka kami akan diraikan seperti ini
apatah lagi bila melihat jururawat yang terlibat datang dengan berpakaian
seragam sekolah, ianya sangat mengujakan dan pada masa yang sama menyentuh
perasaan kami sehingga mengalirkan airmata”.
Jelas Teo lagi, sambutan ini membuatkan
beliau dan rakan – rakan lebih bersemangat untuk terus berkhidmat SDH Hospital
USM dengan lebih gigih lagi kerana merasakan tanggungjawab dan amanah yang
mereka laksanakan di sini mendapat perhatian dan pengiktirafan oleh pihak
USM. Beliau dan rakan-rakan guru yang lain turut berterima kasih kepada
pihak pengurusan di atas penyampaian hadiah sempena hari guru.
Pengarah Hospital USM, turut menzahirkan penghargaan kepada
guru-guru yang sanggup bertugas di SDH dengan suasana agak berbeza berbanding
pengajaran di sekolah biasa. Ini kerana, pelajar SDH adalah juga pesakit
yang mengidap pelbagai penyakit dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital USM.
“Pihak Pengurusan
Hospital USM berharap hubungan yang baik ini akan berkekalan, dan sempena
sambutan 50 tahun USM, tidak salah kiranya kita turut meraikan hari guru
sebagai penghargaan kepada guru-guru yang bersama-sama kita dan diam tak diam
sudah tujuh tahun SDH bertapak di Hospital USM dan di Malaysia amnya,” katanya
semasa memberi ucapan sebagai ketua rombongan lawatan tersebut.
Sumber : kk.usm.my