Wednesday, May 15, 2019

RMKB HULUR SUMBANGAN BANTU PESAKIT DI HOSPITAL USM



Jabatan Pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan sebuah badan NGO iaitu Rumah Mahabbah, Kota Bharu (RMKB) yang menyantuni pesakit pediatrik dalam usaha menyalurkan bantuan berupa barangan dan pakaian di tingkat enam Hospital USM.
Menurut Urusetia Rumah Mahabbah, Profesor Madya Dr Noraida Ramli, RMKB merupakan sebuah badan NGO yang bertindak sebagai pemudahcara membantu menyalurkan barang-barang keperluan kepada mereka yang memerlukan.
"Masyarakat yang mempunyai barangan yang tidak digunakan boleh sedekahkan kepada RMKB, dan barangan ini nanti akan kita salurkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
"Memandangkan kita bakal menyambut Syawal, RMKB amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang boleh menyumbang pakaian hari raya, di samping itu juga kami turut membekalkan barangan makanan digunakan kepada pesakit sepanjang Ramadan kali ini," katanya ketika ditemui semasa program berlangsung.
Tambah Noraida, RMKB mula ditubuhkan selepas banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014, dan ada satu peristiwa yang turut membawa kepada penubuhan RMKB iaitu terdapat mangsa banjir dalam kalangan kanak-kanak lelaki memakai pakaian wanita iaitu baju kurung akibat bantuan yang diberikan tidak menepati kehendak sasaran.
"Kami ingin memastikan semua barangan yang kita sumbangkan menepati kehendak mereka dan dengan itu semua barangan dipamerkan di sini bertujuan memudahkan pesakit dan waris memilih sendiri barangan yang mereka mahukan.
"Konsep kita adalah mudah, setiap orang mampu bersedekah dan setiap orang berhak menerima apa yang mereka inginkan dan mengambil apa yang sesuai dengan mereka sahaja," katanya lagi.
Masyarakat di luar sana boleh menyumbang apa saja barangan yang boleh digunakan lagi  kepada RMKB untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.