Wednesday, May 15, 2019

JURURAWAT BUAT "SUPRISE" KEPADA CIKGU SEKOLAH DALAM HOSPITAL DI HOSPITAL USM



USM KUBANG KERIAN, 15 Mei 2019 – Hari Guru adalah hari meraikan para guru dan disambut pada 16 Mei setiap tahun.  Kepelbagaian aktiviti yang diadakan dengan pembabitan ibu bapa serta para pelajar menambahkan lagi keceriaan hari sambutan.
Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuat kejutan dengan melakukan kunjungan menyantuni guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Dalam Hospital (SDH) sempena sambutan Hari Guru.  Biarpun sambutannya awal sehari, namun ia tetap memberi kesan mendalam kepada guru-guru yang diraikan.
Menurut Penyelaras SDH, Cikgu Teo Seng Hue, mereka tidak menyangka menerima kejutan sebegini apatah lagi Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim turut turun padang menyertai kunjungan tersebut.


“Saya merasa amat gembira dengan kunjungan ini, ianya sangat mengejutkan pihak kami dan tidak menyangka kami akan diraikan seperti ini apatah lagi bila melihat jururawat yang terlibat datang dengan berpakaian seragam sekolah, ianya sangat mengujakan dan pada masa yang sama menyentuh perasaan kami sehingga mengalirkan airmata”.
Jelas Teo lagi, sambutan ini membuatkan beliau dan rakan – rakan lebih bersemangat untuk terus berkhidmat SDH Hospital USM dengan lebih gigih lagi kerana merasakan tanggungjawab dan amanah yang mereka laksanakan di sini mendapat perhatian dan pengiktirafan oleh pihak USM.  Beliau dan rakan-rakan guru yang lain turut berterima kasih kepada pihak pengurusan di atas penyampaian hadiah sempena hari guru.
Pengarah Hospital USM, turut menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang sanggup bertugas di SDH dengan suasana agak berbeza berbanding pengajaran di sekolah biasa.  Ini kerana, pelajar SDH adalah juga pesakit yang mengidap pelbagai penyakit dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital USM.
 “Pihak Pengurusan Hospital USM berharap hubungan yang baik ini akan berkekalan, dan sempena sambutan 50 tahun USM, tidak salah kiranya kita turut meraikan hari guru sebagai penghargaan kepada guru-guru yang bersama-sama kita dan diam tak diam sudah tujuh tahun SDH bertapak di Hospital USM dan di Malaysia amnya,” katanya semasa memberi ucapan sebagai ketua rombongan lawatan tersebut.

 

Sumber : kk.usm.my