Sambutan Ulangtahun USM Ke-50
Bersama kita raikan perayaan sambutan ulangtahun yang bakal diadakan tidak lama lagi
Hospital USM Tubuh Organisasi Kawad Kebakaran
Memastikan keselamatan staf dan pesakit sentiasa berada dalam keadaan selamat, Hospital USM dengan kerjasama bomba tubuh OKK
Asma Ismail (Prof,Datuk,Dr.) Mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan
Ucapan kepada seluruh warga Hospital USM,pesakit,peneman pesakit. Terima kasih kerana membantu Hospital USM. Semoga dengan berpuasa dapat merapatkan diri kita kepada Allah s.w.t
Ahmad Sukari Halim (Prof,Dato',Dr.) mengajak semua bersenam
Pelajar dan staf digalakkan untuk selalu bersenam bagi memberi kesan yang positif kepada kesihatan dan kehidupan seharian kita
Iklan kosong 5
Hubungi kami sekarang, khidmat ini khusus untuk makluman
Monday, June 10, 2019
SAKIT TAPAK KAKI USAH DIPANDANG REMEH
By fighter June 10, 2019
KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Januari 2019 – Tapak kaki manusia terdiri daripada tulang kaki, ligamen dan tendon, lapisan otot, fascia serta saluran darah dan saraf. Sakit tapak kaki kebiasaannya berpunca daripada radang selaput atau fascia pada tapak kaki yang dikenali sebagai ‘Plantar Fasciitis’.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Rehabilitasi, Unit Perubatan Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, umumnya pesakit akan selalu mengadu sakit di tapak kaki terutama selepas bangun dari tidur ataupun melakukan aktiviti berjalan dan berdiri terlalu lama.
“Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan malah akan menggangu kehidupan seharian pesakit apabila tidak dapat bergerak dengan pantas sehingga menyebabkan tugas harian tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya ketika menjadi tetamu slot ‘Sembang Sihat’ di Radio Kelantan FM, di sini.
Al Hafiz berkata, kesedaran masyarakat terhadap masalah yang dihadapi pada anggota kaki amat rendah dan ramai yang menganggap kesakitan yang ditanggung merupakan perkara kecil serta akan pulih sekiranya mendapat rehat yang mencukupi.
“Masyarakat masih tidak menyedari kesakitan yang ditanggung kadangkala boleh mendatangkan kesan negatif kepada pesakit itu sendiri kerana sakit pada tapak kaki secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu jari kaki, depan tapak kaki dan belakang kaki.
“Kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai seperti kasut wanita bertumit tinggi yang tidak selesa atau sempit,” jelasnya lagi.
Tambah Al Hafiz, kesakitan pada bahagian depan tapak kaki biasanya melibatkan tulang metatarsal (kelima-lima tulang pada kaki yang menyambung pergelangan kaki kepada jari-jari kaki) dan tulang sesamoid (tulang berbentuk nodul bujur yang terletak di dalam tendon dan melongsor di atas permukaan tulang lain).
“Individu lebih berusia atau gemuk, wanita, pesakit diabetis, pesakit jantung atau yang alami kesakitan pada lutut, pinggul atau belakang mempunyai kadar lebih tinggi mengalami masalah kaki.
“Golongan wanita lebih ramai mengalami masalah sakit pada jari dan bahagian bawah jari kaki berbanding lelaki dan biasanya keadaan ini semakin teruk apabila usia meningkat serta pertambahan berat badan,” katanya.
Menurut Al Hafiz lagi, antara rawatan yang selalu dilakukan terhadap pesakit ialah dengan memberi ubat tahan sakit bagi mengurangkan radang selain merujuk kepada pakar fisioterapi bagi melatih pesakit melakukan senaman tertentu untuk mengurangkan kesakitan dan mengelakkan dari penyakit ini semakin teruk.
“Sekiranya rawatan tersebut tidak berkesan, doktor akan memberikan rawatan suntikan steroid pada bahagian fascia yang berfungsi untuk mengurangkan serta menghilangkan sakit dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
“Langkah berikutnya jika rawatan tadi tidak berkesan, doktor akan memberi injeksi ‘botulium toxin’ pada bahagian fascia dan otot di kaki bagi melemahkan otot yang ketat dan memudahkan senaman regangan namun begitu kos injeksi ini agak mahal dan hanya kes-kes yang tertentu sahaja akan diberi keutamaan,” ujarnya.
Al-Hafiz turut menjelaskan bahawa jika kesemua rawatan yang dilakukan tidak berjaya atau tahap sakit yang semakin serius, pembedahan akan dilakukan bagi merawat penyakit ini.
Saturday, June 1, 2019
ALUMNI USM TERPILIH MENERIMA ANUGERAH BERPRESTIJ NEGARA JEPUN
By fighter June 01, 2019
From
USM Penang
With Love
PULAU PINANG, 30 Mei 2019 – Alumni dan mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak telah terpilih untuk menerima Darjah Kebesaran “Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon” dari Maharaja Naruhito di kediaman rasminya di Jepun.
Sumber dari Kedutaan Jepun di Malaysia memaklumkan bahawa Dzulkifli, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran tersebut oleh Kerajaan Jepun pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Anugerah tersebut diberi bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam meningkatkan program pertukaran akademik di antara Jepun dan Malaysia, khususnya sewaktu beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari tahun 2000 hingga 2011.
Anugerah ini merupakan salah satu di antara dua anugerah berprestij Musim Bunga 2019 yang dianugerahkan kepada kenamaan asing (Malaysia) yang telah memberi sumbangan besar dalam mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara tersebut.
Dzulkifli amat berterima kasih kepada Kerajaan Jepun di atas pemilihan beliau untuk menerima pengiktirafan ini, serta berharap untuk terus meningkatkan pelbagai usaha di bawah Dasar Pandang ke Timur yang telah diperbaharui.
RAWATAN TIDAK MEMBATALKAN PUASA
By fighter June 01, 2019
Sepanjang bulan Ramadan, kesibukan di Jabatan Kecemasan tetap sama seperti bulan-bulan dalam penerimaan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan. Pesakit yang datang mengharapkan kesembuhan agar mereka dapat menunaikan ibadah puasa dan ibadah lain di bulan yang mulia ini.
Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Afifah Sjamun Sjahid berkata, kebaikan berpuasa dari segi kesihatan adalah yang terbaik kerana dapat merehatkan sistem penghadaman dari terus bekerja. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menimbulkan kesangsian dalam kalangan pesakit berkaitan perubatan dan perkara-perkara yang membatalkan puasa apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital ataupun klinik.
“Berpuasa membantu mengeluarkan toksin serta meningkatkan proses metabolisme selain dapat mengurangkan paras gula serta tekanan darah dalam badan bagi pesakit darah tinggi dan kencing manis.
“Amalan perubatan yang tidak membatalkan puasa pula terutamanya ubat-ubatan atau prosedur adalah ubat untuk serangan jantung yang diletakkan di bawah lidah iaitu Sublingual GTN, Nebulizer, ubat yang diberikan melalui suntikan, derma darah, bantuan oksigen, ubat mata dan telinga dengan syarat gegendang telinga tidak pecah,” katanya ketika ditemubual dalam slot ‘Sembang Sihat’ di konti Kelantan FM.
Tambah Afifah, rawatan dialisis seperti Perioneal Dialysis (PD) dan Hemodialysis (HD) juga tidak membatalkan puasa tetapi sekiranya tidak mampu untuk meneruskan puasa, pesakit dinasihatkan untuk berbuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi.
Bercakap tentang jumlah kedatangan pesakit ke Jabatan Kecemasan semasa bulan Ramadan, beliau menjelaskan, kedatangan pesakit meningkat selepas waktu berbuka sekitar jam 8 malam hingga 1 pagi.
“Antara kes yang diterima adalah gastrik, darah tinggi, bacaan gula tidak terkawal, keracunan makanan akibat makanan yang dipanaskan berkali-kali, cedera akibat bermain mercun dan kemalangan yang kerap terjadi berbanding dengan bulan-bulan lain,” katanya lagi.
Di akhir temubual, Afifah turut menasihatkan agar semua orang menjaga kesihatan di bulan mulia ini dan bagi pesakit yang mendapat bantuan ubat dinasihatkan agar sentiasa peka dengan dos ubat yang perlu diambil kerana tempoh bersahur sehingga berbuka adalah suatu masa yang panjang.
Wednesday, May 22, 2019
‘EMOTIONAL INTELLIGENCE‘
By fighter May 22, 2019
Emosi merujuk kepada suatu perasaan dan fikiran khusus, melibatkan
biologi dan psikologis serta membawa kepada kecenderungan untuk bertindak.
Emosi pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Pengajian Sains
Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zarawi Mat Nor
berkata, ‘Emotional Intelligence’ (EQ) mempunyai lima komponen yang terdiri
daripada kesedaran diri, kawalan diri, motivasi diri, empati dan juga kemahiran
sosial.
“Kesedaran diri atau kewarasan diri adalah kebolehan kita
untuk mengetahui dan mengenali emosi atau perasaan sendiri. Selain itu, ia juga
untuk mengetahui dan memahami perhubungan antara emosi, fikiran, kelakuan dan
reaksi terhadap perasaan yang dialami.
“Apabila kita beremosi, kita seharusnya sedar apakah perasaan yang
sedang kita hadapi sama ada sedang marah, takut atau sedih,” ujarnya semasa
menjadi tetamu di rancangan Doktor Di Radio, di sini.
Menurut Mohd Zarawi, kawalan diri atau pengurusan diri pula ialah
kebolehan seseorang mengawal atau menanggung emosi sendiri dan mampu mengawal
atau mengurus secara rasional situasi dan desakan – desakan dalaman diri iaitu
bisikan dalaman.
“Di sini kita boleh lihat jika seseorang tidak dapat mengawal
emosi, dia akan memberontak dan mempamerkan emosi yang dia sedang hadapi.
“Motivasi diri iaitu kecenderungan emosi yang boleh memimpin dan
membantu mencapai matlamat merupakan dorongan kepada kita dan jika dilihat dari
sudut emosi, ia merupakan kebolehan untuk bertahan apabila berhadapan dengan
halangan yang boleh menyebabkan kita beremosi,” jelasnya lagi.
Tambah Mohd Zarawi, empati pula ialah kebolehan seseorang memahami
perasaan dan masalah orang lain contohnya kita dapat merasai apa yang orang
lain rasa, melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan, berfikir atau bertindak
dari sudut pandangan orang lain dan menghargai perbezaan perasaan atau pendapat
orang lain mengenai pelbagai perkara.
“Di samping itu, kemahiran sosial merupakan kemahiran seseorang
mengendalikan emosi orang lain. Kemahiran ini penting kerana atas nasihat kita,
kita berjaya mengawal emosi orang lain daripada berlebihan.
“Namun, ada juga situasi yang mana disebabkan nasihat kita, emosi
orang lain menjadi semakin teruk,” jelasnya.
Iklan :
Monday, May 20, 2019
SYUKUR ADA BIUS, KALAU TAK BIUS ...
By fighter May 20, 2019
Setiap individu yang pernah menjalani pembedahan sering kali merasakan kejayaan
sesuatu pembedahan adalah dengan sokongan dan kehebatan sepasukan pakar
bedah. Namun kita tidak sedar bahawa dalam kumpulan ini terdapat pakar
bius atau anestesiologi yang kehadirannya sering dilupakan sedangkan peranan
mereka sama penting dengan pakar bedah.
Menurut pensyarah dan pakar perubatan,
Jabatan Anestesiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti
Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Hasyizan Hassan, tanpa pakar bius, pembedahan
tidak dapat dijalankan. Malah kerjasama yang wujud di antara pakar bius dan
pakar bedah akan menjamin kejayaan dalam setiap prosedur pembedahan. Ini kerana
dalam apa juga pembedahan sama ada kecil atau besar memerlukan pembiusan yang
hanya dilakukan pakar bius berpengalaman.
“Peranan pakar bius adalah memastikan pesakit dalam keadaan
sepatutnya semasa menjalani pembedahan, tidak berasa sakit dan selamat semasa
mahupun selepas pembedahan. Bagi pesakit yang ingin menjalani pembedahan sudah
tentu mereka tidak mahu melihat dan merasai saat tubuh dibedah atau kulit
dijahit,” jelasnya dalam satu sesi temubual bersama radio tempatan, di sini.
“Ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan sebelum pembedahan
dijalankan. Sehari sebelum dibedah, pakar bius akan melawat pesakit bagi
memastikan mereka berada dalam keadaan sihat,” ujarnya lagi.
“Sihat bermaksud pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi atau
tekanan darah berada di dalam keadaan terkawal, seperti juga kadar gula dalam
darah serta tidak mengalami kesukaran bernafas. Perjumpaan dengan pakar bius
sebelum pembedahan amat penting kerana sesetengah pesakit mungkin akan
mengalami alahan dengan ubat bius dan boleh membahayakan.
“Terdapat empat jenis pembiusan utama iaitu bius separuh,
epidural, bius setempat dan bius penuh yang setiap satunya mempunyai fungsi
tersendiri, dilakukan dalam cara dan penggunaan ubat-ubatan berbeza,” katanya
lagi.
“Ada beberapa komplikasi mungkin akan dirasakan oleh pesakit
selepas mendapat suntikan bius sekiranya prosedur dan dos ubat tidak diberikan
secara tepat. Kebanyakan komplikasi yang dialami oleh pesakit bersifat
sementara atau kesan cukup lama dan antara kesannya adalah pesakit akan
mengalami loya atau muntah, pening kepala, kesukaran bernafas dan penurunan
tekanan darah,” ujar Hasyizan.
Tambah Hasyizan, peranan penting seorang pakar bius ialah
memastikan pesakit berada dalam keadaan selamat semasa dan selepas pembedahan
selesai selain berperanan di dalam bilik bedah, pemantauan dan penjagaan
keselamatan pesakit selepas pembedahan di unit rawatan rapi turut menjadi
tanggungjawab pakar bius. Selain itu juga, pakar bius berperanan dalam
perkhidmatan rawatan kesakitan akut yang dialami selepas pembedahan sehingga 48
jam.
Wednesday, May 15, 2019
RMKB HULUR SUMBANGAN BANTU PESAKIT DI HOSPITAL USM
By fighter May 15, 2019
Jabatan Pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)
menerima kunjungan sebuah badan NGO iaitu Rumah Mahabbah, Kota Bharu (RMKB)
yang menyantuni pesakit pediatrik dalam usaha menyalurkan bantuan berupa
barangan dan pakaian di tingkat enam Hospital USM.
Menurut Urusetia Rumah Mahabbah, Profesor Madya Dr Noraida Ramli,
RMKB merupakan sebuah badan NGO yang bertindak sebagai pemudahcara membantu
menyalurkan barang-barang keperluan kepada mereka yang memerlukan.
"Masyarakat yang mempunyai barangan
yang tidak digunakan boleh sedekahkan kepada RMKB, dan barangan ini nanti akan
kita salurkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
"Memandangkan kita bakal menyambut Syawal, RMKB amat berbesar
hati sekiranya ada pihak yang boleh menyumbang pakaian hari raya, di samping
itu juga kami turut membekalkan barangan makanan digunakan kepada pesakit
sepanjang Ramadan kali ini," katanya ketika ditemui semasa program
berlangsung.
Tambah Noraida, RMKB mula ditubuhkan
selepas banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014, dan ada satu
peristiwa yang turut membawa kepada penubuhan RMKB iaitu terdapat mangsa banjir
dalam kalangan kanak-kanak lelaki memakai pakaian wanita iaitu baju kurung
akibat bantuan yang diberikan tidak menepati kehendak sasaran.
"Kami ingin memastikan semua barangan yang kita sumbangkan
menepati kehendak mereka dan dengan itu semua barangan dipamerkan di sini
bertujuan memudahkan pesakit dan waris memilih sendiri barangan yang mereka
mahukan.
"Konsep kita adalah mudah, setiap
orang mampu bersedekah dan setiap orang berhak menerima apa yang mereka
inginkan dan mengambil apa yang sesuai dengan mereka sahaja," katanya
lagi.
Masyarakat di luar sana boleh menyumbang apa saja barangan yang
boleh digunakan lagi kepada RMKB untuk disalurkan kepada mereka yang
memerlukan.
JURURAWAT BUAT "SUPRISE" KEPADA CIKGU SEKOLAH DALAM HOSPITAL DI HOSPITAL USM
By fighter May 15, 2019
USM KUBANG KERIAN, 15 Mei
2019 – Hari Guru adalah hari meraikan para guru dan disambut pada
16 Mei setiap tahun. Kepelbagaian aktiviti yang diadakan dengan
pembabitan ibu bapa serta para pelajar menambahkan lagi keceriaan hari
sambutan.
Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah
membuat kejutan dengan melakukan kunjungan menyantuni guru-guru yang berkhidmat
di Sekolah Dalam Hospital (SDH) sempena sambutan Hari Guru. Biarpun
sambutannya awal sehari, namun ia tetap memberi kesan mendalam kepada guru-guru
yang diraikan.
Menurut Penyelaras SDH, Cikgu Teo Seng
Hue, mereka tidak menyangka menerima kejutan sebegini apatah lagi Pengarah
Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim turut turun padang menyertai
kunjungan tersebut.
“Saya merasa amat gembira dengan kunjungan ini, ianya sangat
mengejutkan pihak kami dan tidak menyangka kami akan diraikan seperti ini
apatah lagi bila melihat jururawat yang terlibat datang dengan berpakaian
seragam sekolah, ianya sangat mengujakan dan pada masa yang sama menyentuh
perasaan kami sehingga mengalirkan airmata”.
Jelas Teo lagi, sambutan ini membuatkan
beliau dan rakan – rakan lebih bersemangat untuk terus berkhidmat SDH Hospital
USM dengan lebih gigih lagi kerana merasakan tanggungjawab dan amanah yang
mereka laksanakan di sini mendapat perhatian dan pengiktirafan oleh pihak
USM. Beliau dan rakan-rakan guru yang lain turut berterima kasih kepada
pihak pengurusan di atas penyampaian hadiah sempena hari guru.
Pengarah Hospital USM, turut menzahirkan penghargaan kepada
guru-guru yang sanggup bertugas di SDH dengan suasana agak berbeza berbanding
pengajaran di sekolah biasa. Ini kerana, pelajar SDH adalah juga pesakit
yang mengidap pelbagai penyakit dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital USM.
“Pihak Pengurusan
Hospital USM berharap hubungan yang baik ini akan berkekalan, dan sempena
sambutan 50 tahun USM, tidak salah kiranya kita turut meraikan hari guru
sebagai penghargaan kepada guru-guru yang bersama-sama kita dan diam tak diam
sudah tujuh tahun SDH bertapak di Hospital USM dan di Malaysia amnya,” katanya
semasa memberi ucapan sebagai ketua rombongan lawatan tersebut.
Sumber : kk.usm.my
Sunday, May 12, 2019
SISA BIOLOGI DAH TAK DIBAKAR, TAPI DITANAM, TAHNIAH HOSPITAL USM
By fighter May 12, 2019
Kaedah pelupusan patuh syariah ini tercetus apabila ada waris
memohon untuk membawa keluar sisa biologi bagi penanaman sendiri kerana kaedah
yang digunakan oleh hospital sebelum ini adalah melalui proses pembakaran,
demikian kata Ketua Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP),
Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sharifah Emilia Tuan Sharif.
Walau bagaimanapun, polisi tidak membenarkan waris membawa keluar
sisa biologi terutama yang mengandungi formalin kerana sisa biologi ini
merupakan 'bio hazard' kepada pengendali yang tidak terlatih yang boleh
memudaratkan mereka serta alam sekitar.
"Disebabkan itulah USM mengambil inisiatif untuk menyediakan
prosedur pengurusan sisa biologi patuh syariah dan memilih tanah
perkuburan Demit kerana ianya agak jauh dari kawasan penduduk dan untuk slot
pertama ini sisa biologi seberat 150 kilogram ditanam melibatkan makmal
Patologi, Patologi Oral, Bank Tisu dan Neurosains".
"Sebelum proses ini dilaksanakan, kita telah mendapat
kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Kelantan (JHEAIK) dan apa yang lebih penting kita turut mendapat kawasan
seluas 1272 kaki persegi di tanah perkuburan demit yang diwaqafkan dengan
persetujuan Jawatankuasa Kubur Mukim Demit untuk dijadikan kawasan khas
penanaman sisa biologi melibatkan semua jabatan dan makmal yang ada di Kampus
Kesihatan", ujar beliau yang ditemui semasa proses penanaman baru-baru ini.
Tambah Sharifah Emilia, proses penanaman sisa biologi ini akan
dilakukan secara berkala empat bulan sekali dan dengan cara penanaman sebegini,
ianya dapat mengurangkan kos pemprosesan yang tinggi sebelum ini.
"Selain JAS dan JHEAIK, kita juga mendapat kerjasama daripada
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membuat penyelidikan sama ada berlaku
pencemaran atau tidak menerusi sampel air, tanah, dan tumbuhan serta hidupan
yang ada di persekitaran tanah perkuburan ini sebelum dan selepas penanaman
dibuat", ujar beliau lagi.
Sumber : kk.usm.my
WAKIL HOSPITAL USM BERENTAP DI MAKSAK 2019
By fighter May 12, 2019
Hospital USM bukan
sahaja melahirkan mereka yang berkebolehan dalam bidang perubatan, malah turut
mengasah bakat-bakat terpendam dalam bidang sukan.
Pasukan USM Kampus Kesihatan menyerlah
dalam Kejohanan Tertutup Bowling Bergu anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan
Anggota Kerajaan (MAKSAK) 2019 yang diadakan dari 19-24 hb April 2019 yang lalu.
Bagi kategori wanita, regu Noraini Md Zain (PPKT) dan Mar'iyah Abd Malek (Hospital USM) muncul sebagai Naib Johan, manakala regu Lau Swee Gim (Hospital USM) dan Noorharlizatul Asma Harun (Hospital USM) menduduki tempat ke-4 dari 28 regu yg bertanding. Lau dan Noor berentap menghadapi banyak regu lawan yang sangat berpengamalan dan berjaya mengalahkan kebanyakan mereka walaupun berada di tempat yang ke-4.
Dalam kategori lelaki pula,
regu Saruddin Abbas (PPSP) dan Rosliza Harun (PPSK) tidak menghampakan apabila
menduduki tempat ke 3 dari 56 regu yang bertanding.
Lebih membanggakan 2
orang wakil USM, Saruddin dan Mar'iyah berjaya menduduki tempat ke 5 teratas bagi melayakkan beraksi dalam kategori Step Ladder.
Majlis penutup pada 4 hb Mei 2019 disempurnakan oleh YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat Exco Belia dan Sukan/NGO Negeri Kelantan diiringi oleh Pengerusi MAKSAK Kelantan Dato' Haji Wan Zamri yang juga Pengarah PTG Negeri.
Sumber : Saruddin
Wednesday, May 8, 2019
CARA MENULIS GELARAN DOKTOR YG BETUL?
By fighter May 08, 2019
CARA MENULIS GELARAN DOKTOR YG BETUL?
- Bila seseorang mendapat Ijazah Doktor Falsafah ataupun Doctor of Philosophy (PhD), mereka layak dipanggil sebagai 'doktor' dalam perbualan ataupun ucapan rasmi. Sama seperti doktor perubatan, doktor pergigian dan juga doktor haiwan. Walaubagaimanapun, cara penggunaan gelaran 'doktor' ini berbeza jika dalam bentuk penulisan. \
- Dalam penulisan, gelaran "Dr." dan "PhD" tidak boleh disamakan atau ditukarganti. KENAL PASTI JENIS DOKTOR Jika kita mahu menulis nama seseorang dengan gelaran yang betul. Langkah pertama, kenalpasti dulu jenis doktor mereka. Doktor Perubatan, Doktor Gigi ataupun Doktor Haiwan memang dipanggil sebagai doktor tetapi berbeza dengan doktor akademik yang mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
- Selain PhD, ada beberapa jenis Ijazah Kedoktoran yang lain seperti Doctor of Education (EdD) dan Doctor of Psychology (PsyD) dan banyak lagi. Gelaran yang sesuai sepatutnya digunakan merujuk kepada jenis Ijazah Kedoktoran dan tidak boleh ditukarganti. Hanya mereka yang mendapat Ijazah Doktor Falsafah sahaja yang dipanggil atau digelar PhD. LETAKKAN GELARAN DR. YG SESUAI Kita boleh letakkan atau tuliskan gelaran "Dr." sebelum nama seseorang yang merupakan doktor perubatan, doktor pergigian ataupun doktor haiwan.
- Contohnya: Dr. Azizan Othman (jika beliau adalah seorang doktor perubatan/gigi/haiwan). Gelaran "doktor' ditulis dalam bentuk singkatan "Dr." jika diletakkan sebelum nama seseorang. Salah jika kita tulis sebagai "Doktor Azizan Othman". Gelaran doktor juga tidak sepatutnya ditulis bersama atau digabungkan dengan gelaran lain. Contohnya, jangan sesekali menulis "Dr. Azizan Othman, PhD" walaupun beliau merupakan seorang doktor perubatan dan juga mempunyai Ijazah Doktor Falsafah. Pilih dan gunakan hanya satu gelaran. Jangan gunakan gelaran "Dr." dalam penulisan apabila merujuk kepada seseorang yang merupakan doktor akademik (doktor falasafah). LETAKKAN KOMA SEBELUM PhD Jika kita merujuk kepada pemegang Ijazah Doktor Falsafah. Kita perlu menulis nama mereka, letakkan tanda koma kemudian diikuti dengan gelaran "PhD". Contohnya: Azizan Othman, PhD. Jangan gabungkan gelaran "PhD" dengan gelaran-gelaran lain meskipun individu tersebut layak menggunakan gelaran lain.
- Sebagai contoh walaupun individu tersebut merupakan seorang doktor perubatan dan juga mempunyai PhD, jangan sesekali menulis nama mereka sebagai "Dr. Siti Asmat, PhD". Pilih satu gelaran sahaja. Jangan gunakan gelaran "PhD" apabila merujuk kepada sesorang yang tidak mempunyai Ijazah Doktor Falsafah. Kesimpulannya, kita sebenarnya tersilap apabila meletakkan gelaran "Dr." sebelum nama pemegang Ijazah Kedoktoran. Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dipanggil sebagai "Doktor" hanya dalam ucapan atau perbualan rasmi sahaja tetapi dalam bentuk penulisan gelaran Doktor Falsafah tidak ditulis sebagai "Dr." sebelum pangkal nama sebaliknnya ditulis sebagai "PhD" selepas nama mereka. Jika seorang jururawat telah mendapatkan PhD in Nursing (Doktor Falsafah dalam bidang kejururawatan), mereka boleh dipanggil sebagai Doktor walaupun sebenarnya adalah seorang jururawat.
- Tetapi dalam bentuk penulisan, gelaran "Dr." sepatutnya tidak digunakan sebaliknya ditulis sebagai "PhD". Jika seorang Ahli Farmasi pula mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah contohnya PhD in Drug Policy ataupun PhD in Pharmacology, mereka boleh dipanggil sebagai "doktor' walaupun sebenarnya ahli farmasi. Tetapi dalam bentuk penulisan, gelaran "Dr." tidak sepatutnya digunakan untuk Ahli Farmasi yang merupakan pemegang Doktor Falsafah sebaliknya ditulis sebagai PhD selepas nama mereka. ADAKAH GELARAN DOKTOR INI DIKAWAL? Di Malaysia, hanya gelaran Doktor Perubatan sahaja yang dikawal penggunaannya di bawah Akta Perubatan 1971 (Medical Act 1971). Hanya mereka yang berdaftar dengan Malaysia Medical Council (MMC) sahaja yang boleh menggunakan gelaran Doktor Perubatan. Di bawah akta ini, gelaran "Dr." boleh ditarik, dibatalkan atau digantung jika seseorang doktor didapati bersalah melanggar etika perubatan, peraturan, undang-undang ataupun menyalahgunakan gelaran "Dr." meraka.
Sumber rujukan : Walden University; What are the Different Types of Doctoral Degrees; Capital Community College Foundation: Titles Before Names Saint Anselm College: Names & Titles
Sunday, May 5, 2019
TANGAN TAK BERSIH, PUNCA PENYAKIT
By fighter May 05, 2019
Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan, mengikut ajaran Islam adalah disunatkan untuk membersihkan tangan terutamanya sebelum hendak makan. Hikmah disebalik amalan ini tidak terhad kepada manfaat kesihatan sahaja, tetapi manfaat yang lainnya.
Tahukah anda bahawa dengan sentiasa mencuci tangan dengan betul, anda boleh mengelakkan pelbagai penyakit? Ya, tangan yang digunakan untuk menyuap makanan merupakan salah satu punca penyakit dalam perut.
Hospital USM sangat aktif dalam terus memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk staf,pelajar dan penduduk setempat berkaitan perkara ini. Satu pasukan telah dibentuk untuk menggerakkan kempen ini di kebanyakan kawasan hospital dan kampus untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
BENARKAH PROFESION MENJADI SEORANG DOKTOR SUATU TUGAS YANG SUKAR DITERIMA?
By fighter May 05, 2019
Satu perkongsian daripada Laman Page Facebook Suami Isteri, Keluarga Bahagia yang memberikan pandangan bahawa tugas seorang doktor adalah tersangat berat. Ada komen netizen mengatakan bahawa dedikasi kerja sebagai doktor hanyalah untuk pesakit atau banyak masa untuk pesakit sehingga keluarga sendiri tidak terjaga.
Namun demikian, ada juga dikalangan netizen membuat perbandingan antara Houseman (HO) dan Medical Officer (MO). Pengalaman menjadi HO memanglah mencabar sehingga makan pun tidak sempat, pesakit diutamakan. Sebagai seorang HO juga, mereka perlu 'perform' untuk mendapatkan tempat di mana2 hospital sebagai Pegawai Perubatan.
Sebab itu kerjaya sebagai seorang doktor itu disanjung oleh masyarakat sehingga keluarga sendiri pun terpaksa diketepikan. Sejauh manakah kebenaran ini?
Sumber : Suami Isteri Bahagia
=======================================================================
Assalam smua
Saya suami , baru kawen 8 bulan , umur baru 26 , isteri 26 . Saya kerja cikgu jaaa wife saya doktor. Baru setahun kerja .
Saya nak mengeluh ckit ja la, kadang2 kawen ni rasa mcm xkawen min ,wife xpenah lekat kat rumah ,mcm harini hari buruh wife keja jgak ,jmaat sabtu dia keja ,time saya kerja dia cuti . Cuti dia shari sminggu , bayangkan la terseksanya saya macamana? Kalau takdir , dia request cuti boleh sama dgn saya , dia mostly akan tidur ja shari . Kalau dia xletih, dia ajak balik umah mak dia . Malas gaduh , saya ikut ja la.
Tak kira lg lau dia oncall, tidoq la saya kat rumah sorg2 peluk bantal peluk. Sunyi tau . Saya rasa dia mcm xbagi keutamaan pd saya la.
Tringin jugak nak merasa mcm org lain , balik keja ada isteri sedia teh , kuih, bley minum lpas penat keja. Ingat xpenat ke keja cikgu kena kawal dak2 darjah 2 , buaih dia ya Allaahhhhh. Makan pun banyak bli luaq ja, spanjang 8 bln kawen, 3 kali ja dia msuk dapur . Jarang boleh rasa air tangan isteri.
Paihtu saya cemburu jgak bla tgok dia slalu aktif dlm grup doktor dia. Waktu cuti tu cuti la , lupa la sat pasal pesakit tu . Suami ni dok sakit hati ada dia kisah?
Bila dia chat lama kat fon , bla saya tanya dia cerita la pasal kes dia kt hospital. Cemuih la dengar , saya xminat benda2 nerd ni. Dalam grup tu campoq laki pompuan, mmg bebas pergaulan. Tu yg depan mata saya, kat hospital tu xtau la. Time oncall tu lagi la risau, tak mau la tuduh macam macam tapi saya tau dia oncall dgn dr laki. B@bi ja kot tak cemburu .
Benda ni saya simpan lama dah . Orang yang sabar ni kalau skali dia meletup mmg bahaya. Sejak kawen , saya tlg tau buat keja rumah, basuh baju ,sidai kain semua la sbb kesian kat dia. La ni 2 minggu dah saya xbuat apa . Tu bukan keja saya dan klau saya xbuat pun dia xkan perasan dan peduli. Sampai bila nak jadi mcmni , nnti kalau ada anak pun nak saya menyusu k???
Saturday, May 4, 2019
DOKTOR HOSPITAL USM RELA PEGANG PENYAPU LIDI
By fighter May 04, 2019
Program Amal membersih Kubur Demit merupakan acara tahunan diadakan oleh Komuniti Penduduk Mukim Demit. Program ini diadakan pada 3 Mei 2019 pada hari Sabtu bermula jam 8.30 pagi sehingga 11.30 tengahari. Dr. Seoparjoo Azmel Bin Mohd Isa daripada Jabatan Patologi dijemput untuk memberi ucapan selaku wakil kepada pihak pengurusan Hospital USM.
Hospital USM melupuskan sisa biologi secara tanaman di
lokasi berkenaan. Ia merupakan hasil daripada perbincangan dan persetujuan oleh
penduduk setempat.
Oleh itu, pihak pengurusan Hospital USM di bawah
Jawatankuasa Pelupusan Spesimen Hospital USM telah menyertai acara yang
diadakan oleh penduduk setempat. Sukarelawan
daripada Hospital USM terdiri daripada 14 orang sukarelawan daripada Unit
Pematuhan dan Pengurusan Risiko, Jabatan Patologi, Unit Kejururawatan dan Pejabat
Timbalan Pengarah Operasi.
Hospital USM telah menyumbangkan wang tunai RM200 (hasil
daripada sumbangan staf), 50 helai kain pelikat (hasil daripada sumbangan staf)
dan jamuan ringan kepada 50 orang penduduk.
Sumber : Staf Hospital USM
Sumber : Staf Hospital USM