Sunday, May 12, 2019

SISA BIOLOGI DAH TAK DIBAKAR, TAPI DITANAM, TAHNIAH HOSPITAL USM


Kaedah pelupusan patuh syariah ini tercetus apabila ada waris memohon untuk membawa keluar sisa biologi bagi penanaman sendiri kerana kaedah yang digunakan oleh hospital sebelum ini adalah melalui proses pembakaran, demikian kata Ketua Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sharifah Emilia Tuan Sharif.
Walau bagaimanapun, polisi tidak membenarkan waris membawa keluar sisa biologi terutama yang mengandungi formalin kerana sisa biologi ini merupakan 'bio hazard' kepada pengendali yang tidak terlatih yang boleh memudaratkan mereka serta alam sekitar.
"Disebabkan itulah USM mengambil inisiatif untuk menyediakan prosedur pengurusan sisa biologi patuh syariah dan  memilih tanah perkuburan Demit kerana ianya agak jauh dari kawasan penduduk dan untuk slot pertama ini sisa biologi seberat 150 kilogram ditanam melibatkan makmal Patologi, Patologi Oral, Bank Tisu dan Neurosains".



"Sebelum proses ini dilaksanakan, kita telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan apa yang lebih penting kita turut mendapat kawasan seluas 1272 kaki persegi di tanah perkuburan demit yang diwaqafkan dengan persetujuan Jawatankuasa Kubur Mukim Demit untuk dijadikan kawasan khas penanaman sisa biologi melibatkan semua jabatan dan makmal yang ada di Kampus Kesihatan", ujar beliau yang ditemui semasa proses penanaman baru-baru ini.
Tambah Sharifah Emilia, proses penanaman sisa biologi ini akan dilakukan secara berkala empat bulan sekali dan dengan cara penanaman sebegini, ianya dapat mengurangkan kos pemprosesan yang tinggi sebelum ini.

"Selain JAS dan JHEAIK, kita juga mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membuat penyelidikan sama ada berlaku pencemaran atau tidak menerusi sampel air, tanah, dan tumbuhan serta hidupan yang ada di persekitaran tanah perkuburan ini sebelum dan selepas penanaman dibuat", ujar beliau lagi.

Sumber : kk.usm.my