KOTA BHARU, 20 Februari 2019 – Ibu-ibu disarankan untuk menyusukan bayi sendiri terutama dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran, kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim.
“Ini kerana nutrien yang terkandung di dalam susu ibu amat diperlukan untuk tumbesaran bayi dan para ibu digalakkan menyusukan bayi secara eksklusif sehingga mereka berumur dua tahun.
“Walaupun sesetengah ibu boleh menyusukan bayi, tetapi ada yang tidak melakukannya dan yang lebih membimbangkan apabila mereka tidak mahu mendapatkan nasihat dan panduan yang betul menyusukan bayi,” katanya ketika merasmikan 1st National Infant and Young Child Feeding (IYCF) Scientific Conference 2019 di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Persidangan saintifik ini dianjurkan Sekretariat Laktasi Hospital USM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya kaum ibu akan kepentingan penyusuan susu ibu.
Menurut Pengerusi IYCF, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman pula, program IYCF ini seiring dengan usaha kerajaan membentuk generasi Malaysia sihat bermula dari peringkat awal usia.
"Masyarakat perlu percaya menyusukan bayi adalah amalan terbaik untuk tumbesaran bayi dan tambahan pula amalan penyusuan dapat menjalinkan ikatan antara ibu dan anak serta menyediakan asas yang kukuh bagi amalan pemakanan sihat.
Katanya lagi, berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), didapati bilangan wanita yang memberikan susu ibu kepada bayi untuk tempoh empat bulan pertama hanyalah sebanyak 46 peratus.
“Malah, Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang paling rendah dari segi penyusuan susu ibu secara eksklusif dan keputusan itu sangat membimbangkan.
"Sejajar dengan usaha membudayakan amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan para ibu, Sekretariat Laktasi Hospital USM juga menerbitkan buku panduan penyusuan di samping menganjurkan beberapa siri ceramah mengenai penyusuan susu ibu secara percuma,” ujar Zaharah.
Persidangan IYCF yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sokongan penyusuan daripada KKM.
Persidangan tersebut turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Zaini Hussin; Pengurus Eksekutif WABA Dr. Amal Salim dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dato' Dr. Hjh Selasawati Ghazali.